Keli Omega 3

Wednesday, July 16, 2008 | | |

KOTA BAHARU, 15 Julai (Bernama) -- Masyarakat disaran menjadikan ikan keli Omega 3 sebagai menu makanan setiap hari kerana kandungan proteinnya yang tinggi dan mempunyai nilai pemakanan yang berkualiti.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Shukry Salleh berkata masyarakat perlu mencontohi China, Thailand dan Indonesia yang menjadikan ikan akuakultur sebagai sumber yang penting bagi membekalkan protein di kalangan rakyatnya.

"Mengikut kajian yang dijalankan, sumber perikanan laut tidak lagi mampu untuk menampung bekalan protein ikan kepada penduduk pada masa hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Promosi Masakan 1001 Rasa Produk Ikan Keli Kanvas Kelate + Omega 3 di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan Jabatan Perikanan Kelantan bersama-sama Koperasi Pegawai Dan Kakitangan Wisma Persekutuan Kota Baharu Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata negara berkenaan bukan sahaja menjadikan ia sebagai sumber protein utama, tetapi menjadikan ia sumber eksport negara.

Shukry berkata "negara kita juga mempunyai sumber perairan dan khazanah yang kaya untuk diterokai dan dibangunkan dengan industri akuakultur.

"Amat malang jika sekiranya kita hanya memandang peluang yang ada di hadapan kita untuk diterokai dan kelak kita rela menjadi pembeli kepada hasil-hasil yang dikeluarkan oleh negara asing," katanya.

Beliau berkata, penghasilan produk Ikan Keli Omega 3 ini, akan membuka lembaran baru dalam konteks pemasaran ikan air tawar seterusnya diharap dapat memajukan lagi industri akuakultur tempatan.

Katanya usaha berkenaan diharap dapat diteruskan termasuklah dengan mengadakan promosi masakan ikan air tawar dengan lebih agresif di samping mempelbagaikan produk berkonsepkan ikan air tawar di pasaran.

Menurutnya penghasilan menu masakan baru dalam masakan ikan keli termasuklah sup ikan keli, padprik keli dan sebagainya adalah merupakan produk yang dapat dikomersialkan.

"Selain itu, penghasilan produk-produk baru yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuklah sardin, serunding, bebola ikan keli dan sebagainya yang berteraskan khasiat Omega 3," katanya.

0 comments: